Khamis, 15 Mac 2012

Putaran Masa

Subuhnya 
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berfoya-foya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin dihujung waktu
siapa aku di depan Tuhan ku.

Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan sebuah ketaatan
siap aku di depan Tuhan ku.

Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak dihujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhan ku

Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhan ku.

Isyaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktuku
siap aku di depan Tuhan ku.

kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid menjadi sepi kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing pada mentari dan juga bintang-bintang


Sabtu, 14 Januari 2012

Perjuangan Nabi SAW Melaksanakan Solat Berjemaah Dalam Keadaan Sakit Tenat



Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Abdullah bin 'Abdullah bin Utbah, dia berkata,"Aku masuk menemui Aisyah, lalu aku berkata,"Tidakkah kamu mahu menceritakan kepadaku tentang sakitnya Rasulullah SAW?"

Dia menjawab,"Baiklah. Ketika penyakit semakin berat oleh Nabi SAW, baginda bertanya, "Apakah orang ramai sudah solat?"

Kami menjawab, "Belum, mereka menantimu."

Baginda bersabda, "Letakkanlah air di mikhdhab untukku."

Aisyah berkata, "Kami pun melakukannya."

Lalu baginda mandi kemudian cuba bangun lantas baginda pengsan. Ketika baginda kembali sedar, baginda pun bertanya, "Apakah orang ramai sudah solat?"

Kami menjawab, "Belum, mereka menantimu wahai Rasulullah."

Baginda bersabda, "Letakkanlah air di mikhdhab untukku."

Aisyah berkata, "Baginda duduk dan mandi kemudian cuba untuk bangun, lalu baginda pengsan. Kemudian baginda sedar kembali dan bertanya, "Apakah orang ramai sudah solat?"

Kami menjawab, "Belum, mereka menantimu wahai Rasulullah."

Baginda pun bersabda, "Letakkanlah air di mikhdhab untukku."

Lalu baginda duduk dan mandi, kemudian cuba untuk bangun lalu baginda jatuh pengsan lagi. Kemudian baginda sedar kembali dan bertanya, "Apakah orang ramai sudah solat?"

Kami menjawab, "Belum, mereka menantimu wahai Rasulullah."

Ketika itu manusia berkumpul di masjid menunggu Nabi SAW untuk melaksanakan solat Isyak.
Akhirnya, Nabi SAW mengutus seseorang kepada Abu Bakar agar dia mengimami orang ramai itu. Dan orang yang diutuskan baginda pun berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkanmu untuk solat mengimami orang ramai."

Lalu Abu Bakar menjadi imam mengimami orang ramai.

Allahu Akbar! Betapa besarnya cinta Nabi SAW untuk menghadiri solat berjemaah!

Penyakit baginda bertambah tenat. Baginda tetap bangun untuk mandi dan mengerjakan solat secara berjemaah namun baginda pengsan. Apabila sedar, baginda mandi lagi untuk kali keduanya. Kemudian baginda pengsan lagi. Apabila sedar, baginda mandi lagi untuk kali ketiganya. Semua itu baginda lakukan dengan harapan mudah-mudahan baginda SAW mendapat kekuatan untuk menghadiri solat berjemaah di masjid dengan kurnia Allah SWT.

Kemudian baginda pengsan lagi dan akhirnya baginda mendapati dirinya terlalu lemah, maka baginda mengutus seseorang kepada Abu Bakar as-Siddiq agar dia mengimami solat bersama orang ramai.

Bukan itu saja, akan tetapi baginda juga pernah keluar untuk solat berjemaah di masjid ketika baginda merasai adanya kelemahan pada dirinya.

Apakah kelemahan itu?
Bagaimanakah baginda SAW keluar ke masjid?

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa dari Aisyah r..a., "Nabi SAW merasai adanya kelemahan pada dirinya, lalu baginda keluar dengan berpegang pada kedua kakinya untuk berjalan kerana sangat lemah seakan-akan aku melihat kedua kakinya tidak dapat diangkat kerana rasa sakitnya."

Subhanallah! Keadaan Nabi SAW tidak memungkinkan untuk berjalan kecuali harus berpegang pada kedua kakinya sehinggakan baginda kelihatan tidak sanggup untuk meneguhkan kedua kakinya di tanah kerana sangat lemah, akan tetapi baginda masih tetap keluar untuk solat berjemaah di masjid.

Lalu bagaimana halnya dengan kita yang mengaku diri sebagai umat Nabi Muhammad SAW akan tetapi meninggalkan solat berjemaah dengan alasan yang sangat mudah seperti main game,berchatting dalam Facebook mahupun Twitter dan sebagainya.

Marilah kita fikirkan sejenak. Berfikir sesaat itu lebih baik daripada beribadat sunat selama 70 tahun. Mengerjakan solat secara berjemaah tidaklah mengambil masa yang terlalu lama dan ganjaran pahalanya juga  27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Andainya pahala itu zahir umpama duit RM27, nescaya manusia akan berbondong-bondong memenuhi masjid. Namun, Allah sengaja tidak menzahirkannya kerana ingin menguji hamba-hambaNya samada benar-benar beriman atau tidak dan balasannya nanti hanya di jannah yang menanti..

Jumaat, 13 Januari 2012

Nilai-Nilai Keguruan


1.Baik Hati : Sikap baik hati dan timbang rasa seseorang guru amat dihargai oleh murid-murid kerana mereka akan belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati.

2.Jenaka : Sifat jenaka seseorang guru akan membawa suasana riang gembira kepada murid-murid dalam bilik darjah. Guru yang suka berjenaka adalah guru yang suka didekati oleh muridnya.

3.Sabar : Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal perasaan diri. Guru yang bersabar akan dapat menjalin perhubungan yang erat dengan murid-muridnya.

4.Bertanggungjawab : Sifat bertanggungjawab akan sentiasa mendorongkan guru mementingkan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Beliau juga akan sentiasa berusaha menjalankan tugasnya dengan sempurna.

5.Yakin : Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Murid-murid akan lebih menghormati guru yang boleh mengambil tindakan dengan tegas.

6.Kepimpinan : Murid-murid akan mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru yang mewarisi sifat kepimpinan dan juga kualiti kepimpinan. Dengan kualiti kepimpinan ini, segala aktiviti pembelajaran akan dapat dijalankan dengan licin dan berkesan.