Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami perlihatkan kepada sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (QS. Al-Isra : 1)
Ayat di atas menceritakan kepada kita bagaimana dengan kebesaran Allah Yang Maha Esa telah menghiburkan Nabi Muhammad SAW yang pada ketika itu bersedih di atas pemergian isterinya yang tercinta, Saidatina Khadijah dan bapa suadaranya, Abu Thalib. Dalam kesedihan itu, Allah SWT ‘menjemput’ baginda dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Peristiwa ini memberi mesej kepada kita bahawa walaupun kedua-dua orang yang dicintainya telah wafat namun nabi tidak bersendirian. Masih ada Allah SWT Yang Maha Kuasa, yang memiliki langit dan bumi, serta yang mengatur kehidupan seluruh alam ini.
Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (QS. Muhammad : 7)
..menjalankan hamba-Nya pada suatu malam..
Jelas di sini bahawa masa yang paling afdal untuk mendekatkan diri kepada Allah serta meluahkan segala permasalahan hidup kita adalah dengan solat malam (qiammulail).
Firman Allah SWT : “Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat terpuji.” (QS. Al-Isra : 79)
..dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis Palestin..
Mengapa masjid? Masjid adalah pusat kehidupan sosial umat Islam. Sejak dahulu lagi, masjid adalah tempat suci umat Islam yang digunakan untuk solat secara berjemaah, mengeratkan silaturrahim, pusat keilmuan Islam, bahkan menjadi tempat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat sekitarnya. Namun dewasa ini, banyak umat Islam yang menjauhi masjid. Bahkan ada sesetengahnya melabelkan masjid sebagai tempat untuk orang-orang yang sudah berumur.
Masjid adalah tempat yang paling utama dalam kehidupan seorang muslim. Bukankah orang yang hatinya terikat akan masjid akan dipayungi naungan Allah di akhirat kelak. Dan ada hadith yang mengatakan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid mendapat ganjaran yang amat besar di sisi Allah SWT. Apatah lagi bagi mereka yang sering berulang-alik ke masjid untuk solat berjemaah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, tentulah ganjarannya lebih besar. Dan sekiranya manusia tahu betapa besarnya ganjaran solat Subuh berjemaah di masjid, nescaya mereka akan datang biarpun secara merangkak.
..pelaksanaan solat lima waktu..
Dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini, baginda nabi SAW telah menerima perintah solat terus dari Allah SWT tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Hal ini benar-benar membuktikan betapa beratnya perintah solat dalam diri setiap individu Muslim. Bagaimana seseorang individu itu menjaga hubungan baiknya dengan manusia, begitu jugalah halnya apabila dia menunaikan solat. Solat adalah interaksi terus seorang hamba kepada Pencipta-Nya. Seseorang yang menunaikan solat secara khusyuk dan tawadhuk, seolah-olah dia sedang berbicara dengan Allah dalam setiap tertib perbuatan solatnya.
..gambaran mereka yang meremehkan perintah solat..
Semasa diisra’kan, baginda sempat menyaksikan beberapa peristiwa dan salah satunya ialah sekumpulan manusia sedang memecahkan kepala mereka dan setiap kali kepala mereka pecah, kepala mereka sembuh kembali. Kemudian mereka memecahkan kepala mereka lagi dan lagi. Jibrail memberitahu bahawa itulah orang yang berat kepalanya untuk sujud kepada Allah SWT (tidak menunaikan solat)
..kasih sayang nabi kepada umatnya..siapa?..KITA
Di Sidratul Muntaha, Allah SWT telah memerintahkan umat nabi Muhammad untuk mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam namun atas nasihat nabi Musa yang mengatakan bahawa kita adalah umat yang dhaif, lemah dan tidak mampu mengerjakan solat sebanyak itu, maka nabi Muhammad SAW sanggup berulang-alik sebanyak 9 kali untuk mengurangkan jumlahnya hingga 5 waktu sehari semalam. Nabi melakukannya semata-mata untuk KITA. Tetapi apa sumbangan kita atau ingatan KITA kepada Nabi SAW? Mulut kurniaan Allah ini jarang digunakan untuk berselawat kepada baginda nabi SAW, bahkan lebih teruk dari itu. Mulut digunakan untuk menabur fitnah dan mengumpat.
Baginda SAW telah menyaksikan sendiri dalam peristiwa isra’ bagaimana orang yang suka menabur fitnah telah menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa dan digunting semula berkali-kali.
Dan sebahagiannya pula mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Mereka ini ialah golongan yang suka mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain.
..wala taqrabu zina..(gambaran seksaan orang yang berzina dalam Isra' Mikraj)
“dan jangan mendekati zina”..ayat ini menyatakan bahawa janganlah mendekati zina kerana apabila mendekatinya nescaya risiko untuk berzina ada kemungkinan untuk berlaku. Tetapi ramai yang tidak sedar akan hal ini terutamanya pasangan yang ‘bercouple’. Ya, barangkali yang lelaki mahupun yang perempuan mampu berkata “kami boleh mengawal hawa nafsu”, “ kami tidak buat apa-apa pun”, “kami hanya berbual-bual sahaja” dan sebagainya namun pernahkah kita terfikir bahawa syaitan itu mampu untuk menyesatkan kita walaupun sesaat kita terleka?
Iya! Bahkan syaitan akan menggoda manusia dengan menghiasi kebatilan. Syaitan akan sentiasa menutup keburukan itu supaya kelihatan indah dan menarik pada pandangan mata manusia.
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya". (Al Hijr: 39)
Jadi tidak mustahil perbuatan ‘couple’ ini boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan iaitu zina. Buktinya berapa ramai anak gadis yang ternoda dek terlalu percayakan lelaki seluruh jiwa dan raga semata-mata atas dasar suka sama suka. Belum lagi dicampur dengan anak luar nikah, pengguguran janin dan kes buang bayi. Nauzubillah min zalik..dunia akhir zaman. Sebagaimana seorang perempuan bongkok tiga yang menahan Rasulullah SAW berhenti. Dan kata Jibrail, “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Perbuatan zina dan maksiat semakin berleluasa, bahkan secara terang-terangan (maksud saya ialah berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim). Hukumnya HARAM dan anda melanggar syariat Islam, peraturan Allah!
Nabi SAW semasa dimikrajkan telah melihat bagaimana mereka yang berzina mempunyai rupa yang hodoh dan buruk. Penzina lelaki juga kelihatan bergantung pada susu penzina perempuan. Dan kelihatan juga satu kaum lelaki dan perempuan memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Mereka ini adalah penzina yang sudah mempunyai isteri atau suami yang sah namun masih melakukan zina.
Nabi SAW bersabda : “Seorang mujahid itu adalah yang berjuang menundukkan hawa nafsunya dalam rangka ketaatan kepada Allah.” (HR. Ahmad).
..keyakinan..
Peristiwa Isra’ Mikraj benar-benar suatu perjalanan yang ajaib berlaku pada Nabi SAW. Ramai umat nabi Muhammad pada ketika itu yang murtad kerana tidak dapat mempercayai kata-kata baginda yang diisra’ mikrajkan oleh Allah SWT dalam masa satu malam. Di sini jelas menunjukkan bahawa akidah atau kepercayaan umat nabi Muhammad pada ketika itu tidak kuat dan utuh. Sebagaimana masyarakat pada hari ini yang mengambil enteng suruhan Allah SWT. Ini menggambarkan bahawa keyakinan atau iman yang dimiliki masih lemah dan tidak punya jati diri seorang mukmin sejati. Jika hari ini kita berusaha mengadakan pelbagai program sana sini berkaitan solat, sembelihan, ceramah dan sebagainya tetapi jika tidak ditanamkan akar keyakinan dalam diri setiap individu Islam itu, maka tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa program sebegitu gagal sebelum bermula. Mungkin kesan dari pelbagai amali atau ceramah yang diadakan tetap ada tetapi tidak mustahil ianya akan bertahan hanya seketika. Kerana apa?..akar keyakinan itu tidak ada. Benih keimanan iaitu kenal Allah SWT tidak disemai, bagaimana untuk menghasilkan buah ketakwaan.
..Masjid Al-Aqsa..
Kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Masjid al-Haram, Mekah. Nabi telah dimikrajkan dari masjid ini ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah SWT. Masjid yang didirikan oleh Umar al-Khattab ini telah mengalami banyak peristiwa sehingga ke hari ini, Palestin. Sebuah negara yang tidak pernah lekang di bibir pemberita hampir saban hari kerana kekejaman puak Zionis. Bayangkan bagaimana mereka yang ingin menunaikan solat di dalamnya perlu mengalami pemeriksaan keselamatan oleh anggota tentera sebelum dibenarkan menunaikan solat di masjid ini!
Malaysia sebuah negara yang aman damai tanpa sebarang kekacauan namun hanya gah dengan masjid yang besar dan cantik tetapi tiada jemaah. Benarlah selagi solat Subuh berjemaah tidak ramai seperti solat Jumaat maka orang kafir seperti Israel laknatullah tidak akan pernah gentar akan Islam.
Kebanyakan dari kita hanya sekadar Islam pada nama dan kad pengenalan. Sehinggakan al-Quran itu menjadi asing dalam rumah orang Islam..tidak pernah dibaca. Seorang pemimpin Britain pernah berkata bahawa jika kita hendak menewaskan Islam ialah dengan menjauhkan pemudanya dari al-Quran. Dan hal ini benar-benar terjadi apabila wujudnya laman Facebook..berapa lama kita menghabiskan masa di depan komputer berfacebook berbanding menghadap ilahi dengan menuturkan ayat suci al-Quran dalam sehari?
Tepuk dada, Tanya iman, Koreksi diri..
Akhir kalam..Charge iman dengan tarbiyah, insyaallah rahmat Allah ada di mana-mana..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan