"Sesungguhnya orang-orang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Perjuangan ke arah kebaikan adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad SAW seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam. Sesungguhnya, pengorbanan baginda merupakan contoh teragung kehidupan seorang manusia demi memperjuangkan kebenaran dan kekebalan semangat yang jitu untuk mencapai syafaat keberkatan Allah SWT.
Tidak disangkal lagi bahawa terdapat halangan dari segi fizikal mahupun mental untuk mencapai syafaat Allah SWT samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Malahan, kehidupan ad-Din yang merupakan kemuncak dalam kehidupan seorang mukmin yang beriman bagaikan mustahil jika difikirkan secara langsung. Akan tetapi, Allah SWT adalah Maha Adil dan Maha Pemurah. Dia mengetahui segala pengorbanan yang dilakukan umat-Nya untuk meneruskan kehidupan yang diredhai dan diberkati oleh-Nya.
Penghijrahan dari kehidupan yang lama kepada kehidupan yang baru amat memeritkan terutama sekali kepada mukmin yang mempunyai banyak tanggungjawab dan segala kasih sayang yang telah dicurahkan sebelum ini. Akan tetapi, orang yang beriman menyedari bahawa tidak ada tanggungjawab yang lebih besar daripada tanggungjawab terhadap agamanya dan tidak ada kasih sayang yang lebih agung dari kasih sayang Allah SWT.
Oleh yang demikian bersabarlah, kerana sabar itu separuh daripada iman dan ingatlah sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia daan di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan