Setiap yang Allah ciptakan pasti mempunyai alasan dan hikmah tersendiri. Siang dan malam umpamanya tidak diciptakan tanpa manfaat dan kepentingan. Allah menjadikan siang dan malam silih berganti agar manusia mampu membahagi-bahagikan masa untuk beristirahat dan bekerja. Maka, kita sebagai hamba-Nya perlu menyedari bahawa setiap saat yang Allah pinjamkan kepada kita adalah amat berharga. Setiap saat tersebut perlu diisi dengan pelbagai perkara yang bermanfaat. Kita tidak sepatutnya mensia-siakan masa yang kita ada begitu sahaja. Sesungguhnya kita tidak mengetahui nasib kehidupan kita pada hari esok. Oleh itu, berazamlah, untuk menyegerakan kebaikan serta melunaskan kewajipan selagi mana kita berpeluang melakukannya.
Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Gunakan lima sebelum lima, masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua, dan masa kaya sebelum papa."
Dalam kehidupan ini, ketika waktu muda, sihat, kaya dan lapanglah sepatutnya kita memaksimakan amalan yang mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri serta kepada orang lain. Waktu-waktu inilah yang paling sesuai bagi kita untuk mengumpul sebanyak mana ilmu dan sentiasa mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang ujian dari-Nya. Sesungguhnya sewaktu hidup semua empat perkara di atas boleh anda lakukan. Bila anda telah tiada, hanya amal soleh, sedekah jariah dan doa anak yang soleh yang mengiringi anda.
Setiap insan mukmin sewajarnya menyediakan jadual waktu untuk memastikan kerja-kerja tersusun dengan sempurna samada berhubung dengan urusan duniawi dan ukhrawi. Sebaiknya kita membahagikan masa kepada empat iaitu :
i. waktu untuk bermunajat dan berzikir kepada Allah
ii. waktu bermuhasabah tentang diri
iii.waktu untuk berfikir berhubung setiap ciptaan Allah
iv.waktu untuk menumpukan keperluan seperti mencari makan dan minum
Dengan membahagi-bahagikan masa seperti ini akan mengelakkan kita daripada mensia-siakan masa dan memberikan keseimbangan dalam menguruskan urusan duniawi serta ukhrawi. Sesungguhnya Al-Quran mengecam orang yang hanya tahu mengenai kehidupan di dunia dan alpa terhadap urusan akhirat.
Sikap suka tangguh-menangguh sesuatu perkara adalah antara faktor utama yang menyebabkan masa disia-siakan begitu sahaja. Setiap waktu yang sepatutnya mempunyai tugasnya sendiri akan diganggu tugasnya yang tertangguh. Maka akan berlakulah kes rungut-merungut serta pelbagai alasan akan diutarakan mengatakan bahawa kita tidak mempunyai masa yang cukup.
Ibnu A'ta ada menyebut di dalam kitabnya "Al-Hikam" :
"Tugas-tugas di dalam beberapa waktu yang lalu mungkin dapat digantikannya. Hak-hak waktu yang hilang tidak boleh diganti. Setiap detik-detik waktu tiba, pasti tugas baru dari Allah berhadapan denganmu. Bagaimana kamu hendak menggantikan tugas dalam waktu lain sedangkan kamu tidak menunaikan hak Allah pada masanya?"
Kita sering mendengar ungkapan bahawa 'masa itu emas'. Namun percayalah bahawa masa itu sebenarnya lebih berharga daripada emas. Emas mampu dibeli, tetapi masa tidak akan ada dijual di mana-mana kedai di dunia ini. Oleh itu wahai kaum muslimin, marilah kita sama-sama renungkan kehidupan ini. Adakah kita yakin bahawa bekal yang telah kita sediakan untuk menghadapi kehidupan di akhirat nanti telah mencukupi?
Maka,gunakanlah masa sebaiknya. Semoga Allah sentiasa memberikan pertolongan kepada kita agar tidak alpa dalam mengingati-Nya serta terus mengucapkan syukur ke atas-Nya. Amin..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan